Kebanyakan badan kerajaan di seluruh dunia diberi nama yang kelihatan bosan tetapi sesetengah negara pernah mencipta badan kerajaan dan kementerian dengan nama dan fungsi yang pelik tetapi 100% wujud dan beroperasi.

1. The Minister for Coffee (Menteri Kopi)

Pada bulan Ogos 2022, Perdana menteri Papua New Guinea telah melantik "Menteri Kopi" yang pertama di negara itu iaitu Joe Kuli.

Biji kopi merupakan antara hasil eksport negara Papua New Guinea yang paling penting menyebabkan kerajaan perlu mencipta kerusi parlimen yang khas dan jabatan kementeriannya sendiri.

Walaupun ditubuhkan untuk menguruskan hasil kopi di dalam negara, nama yang diberikan "The Minister for Coffee" (Menteri Kopi) masih kelihatan kelakar atau komedik bagi sesetengah pihak kerana ia kedengaran seperti jawatan yang 'diimpikan' oleh setiap pekerja yang menggemari kopi (caffeine-addicted) di seluruh dunia.

2. The Minister of Sex (Menteri Seks)

Pada tahun 2017, Sepanyol berdepan krisis populasi kerana kadar kelahiran yang semakin menurun. Tanpa dijangka, kerajaan Sepanyol melantik Edelmira Barreira sebagai "Commissioner for the Demographic Challenge" (secara literal, bermaksud Pesuruhjaya Menangani Cabaran Demografi) tetapi kerajaan Sepanyol dan media antarabangsa telah memberikan gelaran jawatan itu dengan nama "Minister of Sex" kerana tugas Edelmira Barreira adalah untuk memastikan pasangan Sepanyol "menyibukkan diri" di dalam bilik.

3. The Minister of Toilets (Menteri Tandas)

Pada mulanya, Haruko Arimura dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita pada tahun 2014. Tetapi beliau secara tidak rasminya memberikan "gelaran sampingan" untuknya iaitu "Minister of Toilets-Menteri Tandas" (Toire Daijin) kerana dia berpegang bahawa menambah baik tahap kebersihan dan keselamatan di tandas awam adalah sangat penting untuk memastikan kaum wanita "berasa selesa" di tempat kerja dan tempat awam. Gelaran tidak rasmi ini mungkin kedengaran lucu kerana ia membuatkan kita membayangkan ia sebagai tugas dan gelaran yang diberikan sebagai "hukuman" kepada ahli politik bermasalah.