Rajah 1: Kerangka Program KrMJ — mampukah identiti dibentuk melalui pemakaian baju-T dan ukuran rambut?
Antara Aspirasi Tinggi dan Acuan Industri
Setiap warga Johor pasti menghargai aspirasi murni kepimpinan negeri, terutamanya di bawah naungan Diraja, yang sentiasa menekankan pembentukan jati diri anak muda yang kental. Program KrMJ (Karakter Murid Johor) adalah manifestasi kepada visi besar ini. Namun, sebagai sebuah wacana intelektual, kita perlu meneliti: adakah metodologi teknikal yang diterjemahkan oleh jabatan pelaksana benar-benar mampu mencapai standard Diraja tersebut, atau adakah ia sekadar terperangkap dalam acuan pendidikan industri lama?
Apabila meneliti poster ini, kita melihat satu fenomena yang dipanggil oleh Richard Feynman sebagai 'Sains Kultus Kargo' (Cargo Cult Science). Ia adalah keadaan di mana kita meniru segala bentuk ritual dan rupa luaran sesuatu sistem, namun kehilangan "roh" atau hakikat yang menggerakkannya. Kita membina landasan kayu dan antena buluh, tetapi "kargo" (karakter sejati) tetap tidak kunjung tiba.
Moraliti 'Akauntan': Dilema Skor 18 Amalan
Dalam seksyen Sahsiah, program ini menekankan skor amalan berdasarkan SSDM. Untuk menjadi 'Permata', murid perlu mengumpul sekurang-kurangnya 18 amalan baik. Persoalannya, sejak bila moraliti manusia boleh diukur dengan transaksi matematik?Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din menegaskan bahawa karakter (Khuluq) adalah keadaan jiwa yang tetap, bukan tindakan bermusim. Apabila kita melatih anak-anak mengejar "18 mata" demi anugerah, kita sebenarnya berisiko memupuk Riya’ yang Disistemkan. Anak-anak belajar untuk melakukan kebaikan bukan kerana nilai intrinsik, tetapi untuk memuaskan akaun skor birokrasi. Kita melahirkan 'Akauntan Moral', bukannya insan yang bertaqwa.
Jati Diri: Hakikat atau Sekadar Seragam?
Tiang Jati Diri meletakkan 'Kemeja-T KrMJ' dan 'Rambut' sebagai perkara utama. Ini adalah pengaruh ketara Model Pendidikan Prussia abad ke-19 yang direka untuk melahirkan pekerja kilang dan tentera yang patuh (compliant). Dalam model ini, "keseragaman" sering dikelirukan dengan "perpaduan".Imam Al-Shafi'i mengembara ribuan batu untuk mencari hakikat jati diri melalui ilmu. Beliau tidak menemui identitinya pada warna pakaian atau ukuran rambut, tetapi pada kekuatan hujah dan integriti akal. Apabila birokrasi pendidikan menyempitkan sahsiah kepada aspek fizikal, ia secara tidak langsung memberitahu murid: "Pematuhan luaran lebih penting daripada pemikiran."
'Hidden Curriculum' dalam Persembahan
Penggunaan 'Teks Dwibahasa' yang skema dan 'Senamrobik' yang dikoreografi nampak indah sebagai persembahan (performance). Namun, pendidikan sejati sepatutnya melahirkan manusia yang mampu berfikir secara spontan. Inilah yang dipanggil 'Hidden Curriculum' (Kurikulum Tersembunyi). Secara tersirat, kita melatih generasi yang hanya berani bergerak jika ada skrip, dan hanya bertindak jika ada arahan.Jangan sampai 'Permata' yang ingin kita hasilkan itu rupa-rupanya hanyalah plastik yang digilap demi memuaskan KPI jabatan pelaksana. Segala penambahbaikan adalah demi memastikan visi besar negeri Johor dalam melahirkan insan kamil tercapai dengan jayanya.
Demi Bangsa Johor.
DAULAT TUANKU
